Cari maklumat di sini
Friday, August 7, 2009
TEH MALBERI
Mulanya tanam suka-suka, kini menguntungkan
Menerima pelawaan membuat liputan mengenai tanaman malberi menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pokok yang menjadi santapan ulat sutera ini. Bertemu dengan mantan guru, Khadijah Mustapa, 58, merungkai segala persoalan yang terbuku sejak seminggu.
Memulakan bicara, Khadijah bercerita, sebatang ranting malberi yang dibawa oleh seorang ahli keluarga sekembali dari United Kingdom (UK) mengubah kehidupannya sekeluarga. Katanya, pokok malberi tumbuh subur di UK bagaikan kawasan semak dan buahnya yang masam-manis enak dimakan terutama bagi pelajar negara ini.
"Dengan sebatang dahan, suami saya, Abdul Jalil Nong menanamnya secara suka-suka kerana kami sekeluarga memang gemar bertani," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rasa Tambahan, Rasa, Hulu Selangor, Selangor.
Apabila pokok malberi yang ditanam mula mengeluarkan hasil, Khadijah membuat jem serta jus dan memberikannya kepada guru sekolah di tempatnya mengajar.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai yang ingin membeli produk baru ini," katanya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai malberi melalui Internet. Mendapati pokok dan buah malberi mempunyai banyak kegunaan, Khadijah mula menghasilkan jus, jem, teh dan dadih bagi kegunaan sendiri.
Bagaimanapun rakan serta keluarga yang berkunjung ke rumah dan merasai produk malberi hasilan tangan Khadijah menggalakkan beliau mengkomersialkannya. Bermula dengan menjual pada rakan dan sahabat di sekolah serta jiran berhampiran, Khadijah mula terfikir mengkomersialkannya.
Setelah lima tahun mengusahakan jem malberi secara kecil-kecilan, setelah bersara Khadijah mula mengambil langkah membesarkan perniagaannya. Menerima nasihat rakannya Zainon Ariffin, Khadijah meminta khidmat nasihat Jabatan Pertanian bagi meningkatkan mutu produk jem buatannya selain menghasilkan produk lain seperti jus, teh dan topping dadih. "Jabatan Pertanian membantu memberikan khidmat nasihat mengenai pembuatan jem, teh, jus dan dadih.
"Saya juga menggunakan kemudahan di Jabatan Pertanian Rasa bagi menghasilkan produk," katanya yang menghasilkan dan mengeluarkan produk di bawah syarikat DMJ Enterprise. Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Khadijah yang sekarang mengusahakan tanaman malberi di tanah seluas suku ekar kini mula menanamnya di kawasan seluas kira-kira empat hektar (11 ekar) di Batang Kali, Selangor.
Khadijah menanam pokok malberi secara berperingkat bagi membolehkan hasil dituai secara berterusan.
Ditanya mengenai pengurusan tanaman malberi, beliau berkata, malberi mudah ditanam dan dijaga tetapi tanaman ini menarik ulat beluncas dan burung. "Pokok malberi, pokok renek seakan-akan semak mengambil masa tiga bulan untuk berbuah dan biasanya buah yang pertama kali tidak digunakan. "Kami menggunakan buah yang terhasil pada kali ke dua dan seterusnya bagi memastikan mutu," katanya yang mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Mara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.
Ulat sutera
Memandangkan daun malberi adalah makanan ulat sutera, musuh semulajadinya adalah ulat beluncas.
Bagi menghalang ulat beluncas, Khadijah tidak menggunakan racun serangga sebaliknya hanya hanya membuang serangga yang ada.
Mengenai ancaman burung pula, Khadijah tidak menggunakan malberi sisa makanan burung dan hanya buah yang sempurna.
Mencari maklumat mengenai pokok malberi, Khadijah mendapat tahu, buah malberi masak boleh dimakan mentah.
Selain itu, buah malberi juga boleh digunakan dalam masakan seperti pai, tart dan minuman kordial.
Buah malberi hitam yang biasa terdapat di barat daya Asia, manakala malberi merah yang ditemui di Amerika Utara mempunyai rasa yang kuat.
Malberi hitam, merah dan putih terdapat dengan banyaknya di India, Azerbaijan, Syria, Armenia, Pakistan, Iran dan Afghanistan dipanggil malberi unggul.
Buah malberi hitam pula diimport ke Britain dalam abad ke-17, atas alasan membantu industri ulat sutera.
Bagaimanapun malberi banyak digunakan dalam perubatan tradisional terutama untuk merawat kurap.
Pokok malberi dibawa ke negara ini oleh pedagang Cina sebagai makanan ulat sutera dan sebagai ramuan ubatan tradisional.
Malahan tumbuhan ini mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan tradisional cina sejak 1800 tahun lalu.
Keseluruhan pokok boleh dimanfaatkan, di mana buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat jem, daunnya dijadikan teh dan batang serta akar boleh direbus untuk diminum.
Khasiatnya paling popular dalam formulasi tradisional bagi mengelakkan kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merendahkan paras kolestrol dalam darah.
Info pokok malberi
Malberi atau morus merupakan 10 hingga 16 jenis spesies pokok daun luruh yang biasa terdapat di kawasan temperat panas dan subtropikal di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika dengan majoritinya di Asia.
lBerkait rapat dengan genus Broussonetia juga dikenali dengan malberi atau Paper mulberry, Broussonetia papyrifera.
Klasifikasi saintifik
Alam: Plantae
Filum: Magnoliophyta
Kelas: Magnoliopsida
Order: Rosales
Famili: Moraceae
Kumpulan: Moreae
Genus: Morus
Berminat untuk dapatkan produk dari malberi dan benih malberi, hubungi 019-2272127